Thursday, October 13, 2011

CINTAI KARIER GURU

HIDUPKU SEBAGAI PENCINTA KARIER GURU

Ketika dahulu, masihku di alam kanak-kanak. Memasuki tadika, sekolah rendah dan sebagainya. Saat itu, masih ku tak tahu kenapa ku ke sekolah. Yang ku tahu, selepas melangkah tahun 1, naik ke tahun 2, begitulah seterusnya. Sewaktu peperiksaan, tak pernah ku rasa ingin membuka buku dan mengulangkaji pelajaran almaklumlah masih kanak-kanak. Tatkala guru bertanya apa cita-cita kamu? Tersentak di hatiku besar nanti ingin aku menjadi seorang pensyarah. Itu sahaja yang ku tahu kerana sewaktu tahun 3 lagi aku berjaya mendapat johan syarahan di sekolah. Aku suka melihat orang berbicara di televisyen, berpidato dan berdebat. Mungkin itulah naluri dan minatku. Ketika di tahun 6 dahulu ku tahu tahun itu sangat penting bagiku kerana aku perlu mencapai 5A dalam UPSR kerana aku antara calon sekolah. Tapi, masih belum matang ketika itu, sewaktu percubaan atau peperiksaan benar sekali pun begitu sahaja aku, tak ada perubahan. Masa yang ku belajar hanyalah di kelas, di tempat tuisyen dan kelas tambahan. Waktu lain, selalu ku suka bermain sahaja dengan kawan-kawan. Ketika diumumkan keputusan, hari paling ditunggu-tunggu, memang menangis aku di sekolah dan di dalam kelas. 3A 2B ja??? Itulah keputusanku. Di dalam kepala, aku x berminat ingin menyambung pengajianku di sekolah biasa. Nak masuk SMKA?? Tak layak kerana 4A1B ke atas sahaja yang layak apatah lagi ingin ke sekolah berasrama penuh. Namun, ada hikmah di sebaliknya. Aku ditawarkan ke institusi agama iaitu Maktab Mahmud Cawangan Yan. Di situlah bermula segala perjuanganku sebagai seorang penuntut ilmu. Di situlah bermula kumendapat tarbiah, didikan dan nasihat. Teringat aku saat mengikut Tamrin Maahadi yang pertama, kami diberi muhasabah diri tentang ibu bapa. Kem itu sangat memberi kesan kepadaku sehingga bertekad di dalam hatiku ingin belajar bersungguh-sungguh dan membalas jasa ibu dan ayah. Alhamdulillah, dengan izin Allah sepanjang pengajianku di Maktab Mahmud Cawangan Yan( Ting 1-3) dan seterusnya Maktab Mahmud Alor Star (Ting 4-5), aku hanya memperoleh kedudukan pertama atau kedua sahaja di dalam kelas kerana apa?? Kerana aku jenis orang yang suka belajar bersungguh-sungguh sampai mencapai targetku. Seingatku lagi sewaktu di sekolah khususnya semasa cuti hujung minggu, boleh dikatakan aku belajar pagi, petang dan malam. Tetapi, aku juga bukan jenis orang yang tak aktif di sekolah, bab kepimpinan mahupun bidangku minati seperti debat dan pidato tetap aku libatkan diri. Aku yakin dan percaya jika bijak aku uruskan masa yang Allah berikan, aku mampu melakukan sesuatu dengan baik. Suatu lagi perkara yang aku suka adalah tentang guru. Dari sekolah rendah mahupun di sekolah menengah, aku rapat dengan guru kerana sekiranya kita rapat dengan guru, kita dapat belajar sesuatu tentang guru, apatah lagi mendapat ilmu dari mereka. Apa yang paling penting juga ialah kita perlu mendapat keberkatan ilmu dari guru kita. Aku suka memerhati dan membezakan antara guru yang komited dan sambil lewa mengajar. Bukan untuk dikritik, tetapi tersemat di hatiku bila melihat guru yang semangat dan komited mengajar, aku akan pastikan subjek guru tersebut aku mendapat A1 dan guru itu menjadi idolaku. Di dalam hatiku juga sentiasa berkata” Sekiranya aku menjadi guru kelak, aku mesti menjadi guru yang koimited dan sentiasa mengajar dengan baik bagi memastikan akan lahir muridku yang berjaya dengan cemerlang”.

Selepas tamat SPM dan memperoleh keputusan yang agak baik (8A), aku sudah bertekad di dalam hati. Aku ingin menyambung pengajian sebagai guru khusus di dalam bidang Bahasa Arab kerana aku amat minat subjek ini. Tawaran pertama kuterima untuk menyambung pemgajian ke Kolej Matrikulasi Perak dalam bidang akaun kutolak kerana kumasih yakin untuk menyambung pengajian dalam bidang Bahasa Arab. Selepas itu, ku mendapat tawaran ke Asasi Undang-Undang KPTM di UiTM Shah Alam dan ketika itu rasanya memang aku akan menyambung pengajian di dalam bidang undang-undang. Malam itu, ibu ayahku ingin membuat kenduri kesyukuran kerana aku akan menyambung pengajian ke UiTM Shah Alam, tetapi hajat itu bertukar apabila pada hari tersebut juga keputusan kemasukan ke Institut Perguruan ketika itu menunjukkan aku berjaya menyambung pengajian ke Institut Perguruan Darulaman dalam bidang BA0501 iaitu (Bahasa Arab, Al-Quran , Pendidikan Agama & Bahasa Melayu) seperti yang kupohon dan ditemuduga sebelum itu. Alhamdulillah, terus aku tak memikirkan yang lain melainkan tekadku ingin terus menyambung pengajian di IPDA, Jitra yang juga tempat kelahiranku.

Perasaan ketika mendaftar dan menjadi guru pelatih di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman “ Sinar Ilmu di Utara” ini sangat gembira kerana aku rasa sangat bertuah ditempatkan di bumi IPDA ini. Bukan sahaja dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang baik, malah kehidupan “campus life” itu wujud di sini. Di samping itu, pensyarah-pensyarah di IPG Kampus Darulaman ini sangat baik dan banyak membantu dan memberi nasihat serta menceritakan laluan kerjaya seorang guru. Sepanjang pengajianku di bumi bertuah ini, aku sudah menetapkan target apa yang perlu kucapai dalam setiap semester pengajian. Cara pembelajaran masih sama ku terbawa-bawa dari zaman sekolah menengah. Sebulan sebelum peperiksaan mesti aku akan mula sedikit-sedikit menelaah pelajaran dan mebuat nota ringkas. Setiap awal semester, selepas mendapat pro forma aku akan cari bahan awal untuk mudah menyiapkan tugasan kerja kursus dan sebagainya. Bagi subjek ilmu pendidikan, aku lebih suka menjadikan majalah Pendidik sebagai teman hidupku untuk mengetahui transformasi serta berita terkini dunia pendidikan. Di samping itu, kemudahan yang terdapat di Alor Star iaitu Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK), khusunya untuk mendapat artikel akhbar dan majalah akan kumanfaatkan untuk mendapatkan bahan. Bagiku, hidup seorang pelajar adalah terus belajar dan mendapat ilmu. Sebagai guru pelatih di IPG juga, pengalaman perlu dicari di sini kerana tanpa pengalaman dan asyik masuk kelas dan tutorial serta pembentangan sahaja kenikmatan hidup sebagai guru pelatih itu tak akan terasa. Penglibatan diri secara langsung dan tidak langsung dalam JPP mahupun aktiviti lain seperti debat dan pidato sebenarnya melatih diri ini lagi tentang pengurusan seorang guru dan dapat menimba pengalaman lagi untuk dibawa ke dunia pekerjaan kelak.

Suatu perkara yang masih teringat di minda fikiranku bagaimana aku boleh melibatkan diri dalam JPP. Sewaktu aku masih persediaan, semester 2 ketika itu (2006), pelajar persediaan tidak dibenarkan melibatkan diri sebagai exco JPP. Namun, ketika itu aku dan Musfirah sahaja dipilih oleh Pn Hjh Natrah untuk menjadi perwakilan khas PPISMP dalam JPP. Saat itulah aku mengenali Tn Hj Mohd Fauzi Hamid yang juga banyak mengajar diriku tentang dunia kepimpinan sehinggakan aku dilantik sebagai Yang Dipertua JPP pada tahun 2007. Banyak kenangan, pengalaman serta ilmu yang aku peroleh dalam dunia kepemimpinan ini. Terima kasih Tn Hj Mohd Fauzi Hamid dan Pn Hjh Natrah Shaari yang sehingga kini masih menghantar pesanan ringkas buatku untuk terus berjuang dalam dunia pendidikan. Menjadi seorang JPP di IPG ini sebenarnya banyak mengajar diri ini untuk menghargai masa dan mencuri masa apatah lagi ketika sahabat lain menyiapkan tugasan kerja kursus, kita diberi amanah dengan pelbagai tugas. Namun begitu, ketika itu, satu sahaja ayat yang selalu aku pegang dalam hatiku “ Sekiranya kita tolong agama Allah, Allah akan tolong kita”. Itu sahaja prinsip diriku dan aku tidak suka sekiranya aku menjadi JPP aku akan kecundang dalam akademik. Itu bukan prinsip hidupku dan aku yakin anugerah masa, nikmat segalanya yang dikurniakanNya bergantung pada diri ini untuk memanfaatkannya. Lantaran itu, aku cuba lakukan yang terbaik dalam peperiksaan mahupun tugasan yang diberikan agar diri ini menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik.

Dunia kampus di IPG juga banyak mendekatkan diri ini dengan murid-urid sekolah khususnya sewaktu menjalani PBS dan juga praktikum. Seingat aku, senior-senior selalu sebut masa praktikum, macam-macam kerja perlu dilakukan khususnya apabila pensyarah ingin menyelia. Di dalam kepala ini, macam-macam difikirkan bimbang tak mampu dilaksanakan. Namun begitu praktikum pertama di SK Malau, aku sudah nampak apa sebenarnya tugas yang perlu diselesaikan sebelum praktikum lagi agar pengurusan masa sepanjang praktikum itu betul-betul terjaga dan mampu untuk melaksanakan yang terbaik. Kenapa orang boleh mendapat praktikum cemerlang, A?? kenapa aku tidak boleh? Kata-kata semangat sentiasa memotivasikan diri kerdil ini. Alhamdulillah, sepanjang praktikum 1 di SK Malau, praktikum 2 di SK Jitra 2 dan praktikum 3 di SK Jitra 3 aku dapat lalui dengan baik bersama teman praktikumku yang setia iaitu Mohd Syafiq dan juga Ab Rahman (Math). Setiap tugas, gerak kerja mahupun aktiviti sekolah akan dilakukan dengan sebaik mungkin serta kami belajar bagaimana ingin merapatkan hubungan dengan pihak pentadbir dan guru-guru. Setiap sekolah yang kami jalani praktikum, biarlah nama baik dan kenangan manis yang ditinggalkan bukan mencemarkan nama IPG Kampus Darulaman dan juga diri sendiri. Syukur juga kerana praktikum inilah mendidik diri ini untuk mengetahui gambaran sebenar sesi persekolahan serta beban tugas guru yang akan dipikul kelak.

Bercerita tentang dunia dan kehidupan di IPG pasti tiada noktah. Banyak kenangan dan pengalaman serta ilmu yang diperoleh di sini. Walau apa pun, suatu yang tidak dapat dilupakan adalah keakraban dan komitednya pensyarah-pensyarah di sini. Sebagai pelajar di bawah JAPIM, banyak perkara yang saya peroleh dan belajar dengan Ust Ahmad Zaki, Ustazah Jamilah, Ustazah Fadzliyah, Ustazah Mjadah, Ust Asri, Ust Zaini, Ust Aziz dan pensyarah-pensyarah yang lain. Tak lupa juga Pn Asiah, pensyarah cemerlang moral yang banyak memberi tips bagaimana untuk menjadi guru cemerlang kelak kini sedang saya praktikkan. Pensyarah-pensyarah saya yang banyak mendidik saya secara langsung mahupun tidak, saya bangga dengan mereka semua kerana itulah betul-betul contoh pendidik yang akan mendidik anak bangsa dan membangunkan modal insan. Semoga kalian sentiasa berada di dalam rahmat Allah.

Sekarang, dunia dan kehidupan di IPG sudah tiada lagi. Yang tinggal kini adalah realiti kehidupan di sekolah. Bagaimana yang dididik, di sinilah akan cuba dipraktikkan. Saat mendapat berita akan ditempatkan di Sarawak dengan ramai lagi sahabat-sahabat yang lain, hanya Allah sahaja tahu. Apatah lagi mendapat sekolah di kawasan yang tidak pernah dengar iaitu SK Nanga Selangau sehingga tercari-cari di dalam internet di manakah lokasi sebenar. Saat tiba di bumi Sibu, seterusnya dibawa oleh pihak PPD bersama 3 rakan lagi sebenarnya, tak sabar nak lihat sekolah dan situasi sekolah pertama ini. Sangat-sangat teruja. Cuma, pabila sampai di PPD, kemudian dibawa ke sekolah sebenar, Ya Allah waktu itu sangat mendebarkan. Melihatkan titi gantung dengan mengheret beg yang besar dan terus tercabut roda beg tersebut sungguh mencabar sahaja. Inilah realiti sebenar pabila ditempatkan di sekolah luar bandar mahupun lebih mencabar lagi di sekolah-sekolah pedalaman. Di sini, saya hanya mengajar subjek Pendidikan Islam sahaja untuk murid-murid Islam tahun 1-6 seramai 15 orang sahaja. Itulah anak didik saya. Banyak perkara perlu ditekankan khususnya kefahaman agama dan situasi ini tidak sama mengajar di semenanjung. Walau apa pun, saya hanya akan lakukan yang terbaik sahaja untuk mereka. Tak dinafikan, bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan persekirtaran yang baru apatah lagi berlainan budaya dan agama, tetapi lama-lama Alhamdulillah boleh juga menyesuaikan diri. Sepanjang di sini, sempat juga saya menziarahi sahabat-sahabat IPDA di Kapit, Kanowit yang lebih hebat cabarannya menyebabkan diri ini sentiasa bersyukur atas apa yang ditentukan oleh Allah. “ Dia akan menguji hambanya mengikut kemampuan”.

Kini, sudah hampir setahun mengajar di sini. Banyak yang saya pelajari. Yang baik saya ambil sebagai pengajaran, yang buruk jadikanlah ia sebagai sempadan dan sentiasa ingat dan perlu bersemangat dan bulatkan tekad dan niat untuk mengajar anak bangsa ini untuk merubah keadaan mereka suatu hari nanti. Semoga didikan serta semangat kita mengajar anak-anak ini dikira sebagai ibadat.

Akhir kata, artikel ini adalah sebenarnya realiti kehidupan yang saya lalui dan saya luahkan dan coretkan di sini bukan untuk kebanggan tetapi sebagai sekadar perkongsian. Terima kasih buat semua pendidik saya dari kecil sehinggalah kini, semoga kalian sentiasa dalam redha dan rahmat Allah. Buatlah yang terbaik dalam apa jua sekalipun dan betulkan niat dan sentiasa semangat kerana diriku adalah pencinta karirer guru sejak dahulu lagi. Doakan saya untuk perjuangan seterusnya…

- Nukilan ikhlas

(Muhammad Solehuddin B Abdul Roni)

SK Nanga Selangau, Sibu, Sarawak.

13 Oktober 2011

8.41 malam.

Tuesday, August 16, 2011

Tuesday, August 2, 2011

RAMADHAN DI BUMI SELANGAU

Selangau (3/8/2011): Assalamualaikum dan salam hormat untuk semua... selepas menikmati sahur...solat..sebelum ke sekolah teringin jugak nak catatkan sesuatu di sini. Alhamdulillah harini dah masuk 3 Ramadhan saya menyambutnya di bumi Selangau.Pertama kali meraikan Ramadhan jauh di bumi Sarawak ini. Kalau zaman belajar dahulu, semuanya dekat sahaja dengan mak ayah tetapi kini semuanya jauh...dulu mak selalu buat ikan bili sambal tu untuk makan sahur, tapi sekarang dah jauh x dapatla saya nikmati ikan bilis itu..Itulah makanan saya dan kawan2 especially waktu sahur...

Tahun ini malam pertama Ramadhan dah di sekolah. 1 Ramadhan Sarawak x cuti macam Kedah. Maka, solatlah terawih saya keseorangan diri dan lepas tu tidur dengan hajat nak sangat bangun sahur..tetapi terjaga dah 5.32, habis dah waktu sahur. Kalau di Kedah sempat lagi ni..hehe...tapi ni Sarawak..habis awal sahuq..bukak posa pun awal..hehe...

Walaubagaimanapun, hari pertama Ramadhan berbuka dengan murid-murid Islam dan guru-guru perempuan Islam sangat menyeronokkan. Terima kasih banyak-banyak kepada Kak Amelia, Kak Asbaidah, Kak Ejan, Kak Hanim dan Kak Nurul yang bertungkus-lumus menyediakan sahur dan berbuka untuk saya dan anak-anak Islam di sini. Bagi saya especially sebagai guru agama, saya rasa sangat bertanggungjawab nak jaga anak-anak Islam dan menggalakkan mereka belajar berpuasa. Kalau saya seorang mungkin saya x pikir sangat dah nak bebruka seorang diri..pandai2 la kan saya mencari, tetapi demi anak-anak ini..Alhamdulillah dengan kerjasama guru-guru..semuanya dipermudahkan olehNya.

2 Ogos sewaktu perhimpunan telah saya adakan pelancaran Ihya Ramadhan dan Penghayatan Nilai-nilai murni...sempat saya buat banner untuk program ini. Terima kasih guru2 dan staf yang memberi sokongan. Seronok buat program ini especially kita nak kan sesuatu hasil dari murid-murid. Walau apa pun, perjalanan saya di bumi Selangau tahun ini sangat memberi kesan kepada diri ini untuk terus berjuang mendidik anak bangsa.

Owh lupa pulak..nak ceritakan..pada malamnya..alhamdulillah..kami guru2 dan anak2 Islam di sini menunaikan solat isyak, terawih dan witir secara bersama...seronok sangat rasa bila kami semua bersama..lepas terawih minum malam dulu mcm moreh la..hehe...Alhamdulillah...terima kasih semua. Semoga Allah murahkan rezeki untuk kita semua..amin ya robb...

Sunday, July 10, 2011

KURSUS INTI 2011

Selangau (10 Julai 2011) : Assalamualaikum dan salam hormat buat semua... Alhamdulillah entri kali ini bakal saya bicarakan berkenaan kursus INTI ( KURSUS INTENSIF ISLAM) yang berlangsung pada 8 Julai dan berakhir pada hari ini 10 Julai 2011. Alhamdulillah, perancangan yang dilaksanakan dengan baik akhirnya bakal membuahkan hasil yang baik. Program yang asalnya akan melibatkan pelajar-pelajar SMK Sibu Jaya, SM Vokasional tetapi akhirnya hanya seorang sahaja wakil dari Sibu Jaya yang hadir dan lainnya adik-adik dari SM Vokasional dan juga wakil dari SMKA Sibu (anak kepada Cikgu Azman).

Program yang membicarakan mengenaik makrifatul insa, makrifatul Islam dan makrifatullah dijalankan secara santai dan bermanfaat. Para peserta tidak ditekankan..tetapi mereka memperoleh ilmu secara relax dan juga diberi tugasan menggunakan multimedia bagi merangsang mereka menggunakan ICT ke arah yang lebih baik. Mereka sangat mahir dan cekap dalam menggunakan ICT, menyediakan pembentangan dengan baik dan mampu menyampaikannya dengan berkesan.. Inilah pendakwah muda yang ingin kita lahirkan di bumi Sarawak..insya Allah.

Pada persepsi saya yang bersama-sama dalam menjayakan kem ini..saya melihat kem ini sangat baik, berkesan dan berkualiti untuk anak-anak remaja dan mereka tidak perlu ditekankan dengan perkara-perkara yang berat. Hanya cukup sekadar memberi pendedahan kepada mereka mengenai aspek Islam, pencipta dan kenal siapa diri sebenar.

Syukran semua sahabat-sahabat yang menjayakan kursus ini. Moga memberi manfaat kepada kita semua juga sebagai pendakwah di jalan Allah.

Saturday, July 2, 2011

LARIAN 1 MURID 1 SUKAN


Selangau (2 Julai 2011) : Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua sahabat-sahabat pembaca.. Alhamdulillah diberi kekuatan untuk terus berjuang dalam jalan dakwahMu Ya Allah... Sahabat-sahabat sekalian..saja nak berkongsi pendapat dengan sahabat-sahabat sekalian mengenai dasar 1 murid 1 sukan yang diperkenalkan oleh kerajaan. Harini 2 Julai 2011, serentak 1 Malaysia mengadakan larian pada jam 7.45 pagi dan ia dimasukkan ke dalam Malaysian Book of Records.

Pada dasarnya melihat kepada usaha yang dilaksanakan oleh Bahagian Sukan, Alhamdulillah sangat menitikberatkan aspek sukan bagi semua murid. Justeru, seua murid Tahap 2 - Tingkatan 6 wajib menyertai sekurang-kurangnya 1 sukan dan jika lebih ia merupakan bonus kepada murid tersebut. Di samping itu juga, sebagai guru, saya melihat dasar ini jika dapat diimplementasikan dengan baik dan jayanya oleh guru-guru di sekolah, maka akan lahirlah murid yang bukan sahaja bijak dalam kademik tetapi mampu mencapai kecemerlangan dalam ko kurikulum. Sebagai guru, kita tidak inginkan anak didik kita benci dengan akademik, minat dengan sukan atau minat akademik tetapi benci sukan. Malah, apa yang kita harapkan ialah anak didik kita seimbang kedua-duanya dan mereka mampu menguasai sekurang-kurangnya 1 sukan. Kemahiran mereka bukan sahaja hanya tahu bermain, tetapi juga didedahkan cara latihan, pengadilan dan sebagainya.

Pepatah Arab menyatakan 'Al-'aqlussalim fil jismissalim" iaitu akal yang sihat datangnya dari badan yang cergas. Justeru, pengimplementasian dasar 1 murid 1 sukan ini amat baik dan ia wajar diteruskan. Apa yang diharapkan ialah peranan guru-guru dan pihak sekolah dalam mengimplementasikan dasar ini ke arah jayanya dan mencapai matlamat yang telah digariskan oleh KPM. "SUKAN UNTUK SEMUA".

Wednesday, June 29, 2011

KEKUATAN!!! SEMANGAT!!! SOKONGAN!!!!


Selangau (29 Jun 2011) : Assalamualaikum buat semua sahabat-sahabat dan pembaca sekalian... rasa seronok menulis semalam menjadikan aku nak tulis lagi petang ini. Memandangkan ahli Persatuan Matematik petang ini tinggal 2 orang sahaja..x tahu nak buat apa...so, mereka hanya santai membaca buku-buku dan majalah manakala aku teruskan menulis dan membuat catatan dalam blog ini.

Petang ini sangat terasa nak membicarakan tentang semangat.....kekuatan... banyak facebook rakan-rakanku termasuklah diriku banyak tension..give up dan menyerah dengan keadaan sekeliling yang dialami kini. Masing-masing mencari hikmah mengapa ditempatkan di tempat sebegini?? Kuakui sukar nak biasakan diri, sukar nak tempuhkan diri dengan cabaran dan suasana sekeliling yang sangat-sangat baru dengan diri. Mungkin bagi yang aktif di IPG mengharapkan mereka dapat sekolah yang hebat, berprestasi tinggi dan mampu mengimplementasikan segala pengalaman di sekolah-sekolah sebegini. Namun, tatkala mendapat sekolah-sekolah yang jauh seberang, sukar untuk melaksanakan apa-apa yang dicita-citakan, lidah terus kelu tak terkata. Dulu aktif, kini pasif, Dulu semanagat kini tidak. Jika dahulu di dalam kelas, bercurah-curah idea dilemparkan dengan begitu semangat dalam menjayakan sesuatu program, namun kini lidah ini, terdiam seketika. Biarkan sahaja apa yang berlalu itu terus berlalu. Tak perlu untuk difikirkan buat seketika.

Namun sahabat-sahabat sekalian. Tak kan perlu kita terus begini hingga bila-bila. Pengalaman yang ada terus akan berkarat lupa dek kerana situasi yang tak secocok dengan diri kita. Itulah kita perlu sama-sama mencari kekuatan, mencari semangat dan sokongan dari insan-insan yang berhampiran.

Pertama : kita dekatkan diri dengan Allah. Pabila jauh dan sunyi dari insan-insan yang disayangi luahkan sahaja kata-kata kita dengan memanjat doa memohon kepada Allah. Hanya Allah mampu mengubahnya.

Kedua : Rajin mberhubung dengan ibu bapa yang sentiasa memahami masalah anaknya. Mohon kepada ibu agar terus berdoa untuk kita yang jauh di sini..Moga-moga dengan doa dari ibu ayah, kita sentiasa dalam rahmatNya.

Ketiga : Rajin-rajinlah berkongsi masalah dengan sahabat-sahabat melalui facebook atau yang berada di pedalaman, kongsilah dengan rakan-rakan yang sama-sama ditempatkan di sekolah berkenaan. Perkongsian begini mungkin boleh melupakan kita seketika tentang nasib dan masalah yang kita hadapi.

Keempat : Cuba kita dekatkan diri dengan guru-guru yang mungkin sama-sama merantau seperti kita. Bertanyakan mereka bagaimana mereka mampu berada di sekolah-sekolah berkenaan sehingga 3-5 tahun. Mungkin dengan sokongan yang diperoleh dari mereka, sekurang-kurangnya kita mendapat kekuatan dan semangat untuk terus berbakti.

Kelima : Sama-sama kita membuat refleksi diri, apa tugas guru? apa harapan dari anak-anak didik dari kita semu? Semoga dengan semangat yang baru setiap hari...kita dapat melakukan yang terbaik demi agama, bangsa dan negara.

Para pembaca sekalian... saya amat mengharapkan sahabat-sahabat yang jauh ditempatkan di pedalaman agar terus mengajar, terus mendidik anak bangsa seikhlas hati. Ada hikmah di sebaliknya,kita perlu mencarinya. Taqarrub Ilallah, doa senjata orang mukmin. Moga-moga segala keringat dan titik peluh kita mengajar, dikira ibadat oleh Allah. amin..

Tuesday, June 28, 2011

PINDAH SEMENANJUNG @ PINDAH KE SIBU

Selangau (28/6/2011) : Assalamualaikum dan salam hormat buat semua pembaca..lama saya x post sesuatu dalam blog ini..sudah 2 bulan tidak ada khabar berita dari blog ini..emm...saya tukarkan nama blog ini kepada PENDIDIK ITU MULIA berbanding nama blog sebelum ini iaitu tempat saya mengajar NANGA SELANGAU:GURU BERDEDIKASI. Bukan saja-saja saya nak tukar..tetapi rasa kesesuaiannya saya lebih akan membincangkan dunia pendidikan dan tazkirah buat para pendidik.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

2 minggu saya bercuti dan pulang ke semenanjung berjumpa ibu ayah tercinta..kini menyambung kembali bertugas dalam penggal persekolahan kedua. Alhamdulillah rutin mingguan saya seperti biasa...5 hari saya berada di sekolah dan hari minggu saya akan ke bandar Sibu untuk program usrah dan program-program dakwah yang lain. Hati rasa makin gembira tidak sunyi tatkala memiliki ikhwah-ikhwah yang begitu mesra, baik hati dan sangat mengambil berat akan diri ini. Masing-masing memberi semangat dalam medan dakwah dan merancang untuk melaksanakan yang terbaik demi agama tercinta. Syukran akhi manja, ust hanafi, akhi Julian, akhi sufri, akhi apipi dan ikhwah yang lain.

Walaupun selepas pulang ke Sarawak ini, hati sangat sedih..rindu akan ibu dan ayah di semenanjung, terdetik di hati ingin pulang sahaja berkhidmat di sana..namun...agak sukar bagi guru agama untuk keluar begitu saja dari bumi Sarawak yang sangat memerlukan pendidik-pendidik khususnya guru agama di sini. Setelah dibincangkan, insya Allah saya akan berusaha untuk tukar ke bandar Sibu sebaik sahaja online pertukaran dibuka pada bulan 9 ini. Bukan niat di hati tidak sayangkan anak didik di sini..tetapi kekuatan di bumi Sibu amat diperlukan untuk terus berjuang dalam medan dakwah.

Para pembaca sekalian...Alhamdulillah anak2 didikku telah menunjukkan perkembangan yang sangat baik. Yang tahun 1 semuanya sudah melangkah ke Iqra 2, yang sudah tahun 3 ke atas semua dalam proses menyelesaikan hafazan bacaan tahiyat dalam solat dan sedang menghafal doa qunut. Bagiku, sangat-sangat bersyukur kepada Rabbul Izzati kerana memudahkan anak-anak ini menerima ilmuMu Ya Allah. Insya Allah..ustaz akan ingat anak-anak semua kerana kamu semualah anak didik pertama ustaz setelah ustaz bergelar guru terlatih.

Kepada anak didikku, Puri Rahayu, Nurul Pauziah dan Muhamad Reza..sayu hati ustaz memikirkan kamu bertiga..entah di mana kamu sekrang..kerana masalah keluarga, kamu menjadi mangsa. Kamu anak didik yang baik dan ada potensi untuk berjaya ke depan. Apalah nasib kamu dibawa ibu lari dari sini. Ustaz hanya panjatkan doa..kamu bertiga pulang kembali, meneruskan pengajian di bumi SK Nanga Selangau ini..aminn..

Sekadar ini sahaja coretanku... ku tunggu bulan 9 ini..mudah-mudahan pertukaranku dipermudahkan olehNya..